Khamis, 5 Mac 2009

Penukaran kereta yang tidak diikuti dengan pemindahan NCD.

Kali ini saya ingin menyatakan satu perkara yang sering dihadapi oleh pemilik kereta.Berdasarkan beberapa pengalaman saya, saya dapati terdapat pemilik kereta yang menukar kereta mereka kepada kereta baru(trade in) sering kerugian kerana NCD yang sepatutnya boleh dipindahkan kepada kereta baru tidak dipindahkan.Hal ini berlaku kerana kecuaian pihak jurujual ketika menguruskan urusniaga penukaran tersebut.Samada kecuaian ini disengajakan atau tidak, seorang jurujual kereta tidak seharusnya terlepas pandang perkara ini.Dengan kata lain seorang jurujual mesti menjadi seorang yang profesyional demi untuk megelakkan pembeli mereka kerugian kerana NCD yang tidak ditukar kepada kereta baru mereka.

Dalam masa yang sama ketiadaan pengetahuan mengenai NCD di pihak pembeli juga menjadi penyebab perkara ini berlaku.Dari pengalaman saya, sering pemilik kereta yang berdepan dengan masalah ini memberitahu bahawa mereka tidak tahu bahawa NCD ini boleh ditukar kepada kereta baru mereka.Umumnya ketika trade ini kereta lama kepada kereta baru,harga ditetapkan mengikut asas "atas jalan'(on the road price) di mana sudah termasuk harga premium Insurans.Oleh itu, sering terjadi pembeli tidak mahu mengambil tahu item yang disenaraikan dalam jumlah harga tersebut dan sering terjadi di mana harga premium yang mahal di awal pembelian kereta tersebut tidak diendahkan sekalipun pembeli tersebut layak mendapat potongan NCD dari kereta lama mereka.

Masalah akan datang apabila pemilik kereta tersebut hendak membaharui road tax mereka setelah setahun menggunakan kereta baru tersebut.Di sinilah banyak menimbulkan masalah kepada pemilik tersebut terutama kepada mereka yang sudah layak mendapat potongan NCD maksima ia itu 55%.Apabila diberitahu kepada mereka bahawa mereka layak mendapat potongan lebih dari separuh dari harga premium, mereka mula terkejut kerana jumlah potongan yang sepatutnya dimiliki mereka terlalu besar malah dalam banyak kes dapat membayar sebulan ansuran kereta tersebut.

Di sinilah kerugian yang tidak disedari oleh pemilik yang tidak mahu mengambil tahu mengenai peraturan insuran kereta dan sikap jurujual yang mahu menjual kereta mereka tetapi acuh tidak acuh mengenai insuran ini.Oleh itu adalah dinasihatkan kepada mereka yang ingin menukar kereta supaya memahami kelayakan NCD dan peraturan mengenainya.Sekalipun kereta yang hendak ditukar itu sudah terlalu buruk dan hanya dilindungi dengan insuran pihak ketiga(3rd party) tetapi kelayakan NCD dikira dari awal pembelian insuran tersebut dan layak ditukar kepada kereta baru dalam semua keadaan.

Saya mengutarakan perkara ini untuk maklumat pembaca sekelian kerana saya berdepan dengan banyak permasalahan ini sepanjang penglibatan saya sebagai agen insuran dan saya juga ingin menasihati jurujual kereta yang membaca tulisan saya ini agar menjadi lebih profesyional dalam menguruskan urusniaga penjualan kereta agar pembeli tidak kerugian.