Rabu, 18 November 2009

Paras berjaga jaga......

Maklumat terbaru seperti posting saya yang baru lalu, menunjukkan satu kemungkinan yang lebih menyusahkan para pemilik kenderaan terutama pemilik kereta lama( usia melebihi 20 tahun),kenderaan perdagangan dan motosikal.Hal ini boleh membawa padah kepada semua pemilik kenderaan sekiranya tiada langkah pembetulan yang mampu membawa jalan keluar kepada permasalahan yang sedang melanda industri insurans kereta motor di negara kita.

Walaupun semua insurans dijamin oleh kerajaan dan kerajaan turut campur tangan dengan menyediakan back up untuk polisi yang dibeli daripada pejabat pos, namun situasi yang berlaku menunjukkan ianya bukanlah jalan penyelesaian yang mampu membetulkan keadaan.Lebih lebih lagi penerimaan "HIGH RISK POOL" yang merumitkan dengan syarat syarat yang begitu sukar, bakal menyebabkan pemilik kenderaan berkaitan berada dalam situasi yang menyulitkan.Untuk maklumat, "HIGH RISK POOL" bagi kenderaan persendirian mensyaratkan kenderaan berkenaan membuat pemeriksaan di PUSPAKOM sebelum polisi dikeluarkan.Ini bermakna dalam masa ramai yang sudah panik dengan usul untuk mewajibkan kereta yang berusia melebihi 15 tahun diperiksa di PUSPAKOM, nampaknya tanpa disedari kereta lama yang berusia melebihi 20 tahun sudahpun disyaratkan untuk diperiksa di PUSPAKOM untuk membolehkan polis dikeluarkan dan road tax disambung.

Oleh itu, situasi yang berlaku hari ini harus diambil sebagai langkah berjaga jaga oleh semua pemilik kenderaan tanpa mengira lama atau baru.langkah berjaga jaga tersebut turut melibatkan komitmen semua pemilik untuk menyumbang kepada usaha mengelakkan kemalangan di jalanraya kerana antara sebab utama kemelut yang melanda industri insurans negara ialah kadar kemalangan yang tinggi yang mana menyebabkan tuntutan insurans juga tinggi sehingga ke peringkat menjejaskan kecairan kebanyakan syarikat insurans.Selain daripada itu,pemilik juga boleh menyumbang dengan memastikan keselamatan kenderaan mereka terutama kenderaan baru dan tersenarai sebagai kenderaan popular daripada pencuri pencuri kenderaan yang masih bermaharaja lela di negara kita.Kehilangan kenderaan juga menjadi sebab utama kenapa tuntutan insurans menjadi terlalu tinggi.

Sebagai langkah peringatan, suka saya nyatakan bahawa rekod kehilangan kereta yang yang membuat tuntutan insurans menunjukkan model model TOYOTA, MITSHUBISI dan HONDA mendahului senarai kereta kereta yang dicuri.Model TOYOTA PRADO,HILUX, WISH, AVANZA MITSHUBISI STORM,beberapa model HONDA ACCORD,CRV Dan CIVIC adalah antara model model popular dan diminati oleh pencuri kereta.Selain itu, hasil penyiasatan menunjukkan sebahagian daripada kereta yang hilang ini ditemui di beberapa negara AFRIKA.Maknanya, hampir keseluruhan kereta yang hilang tidak dapat ditemui semula.Inilah risiko yang merisaukan banyak syarikat insurans sehingga ada antaranya sudah menolak risiko daripada model model berkenaan.

Untuk itu, pemilik kereta adalah dinasihati agar meningkatkan ciri ciri keselamatan kereta mereka sebagai usaha membasmi aktiviti mencuri kereta yang berleluasa sekarang ini.Ingatlah hari ini kesukaran sedang dihadapi oleh pemilik kereta berusia lebih 20 tahun, tetapi siapa tahu nanti pemilik kereta baru juga akan berdepan dengan kesukaran yang sama.

Inilah antara usaha yang boleh dicadangkan dan dimaklumkan kepada semua pemilik kereta.Selain itu, pemilik juga dinasihati agar mengurangkan perjalanan kereta mereka, memastikan kereta mereka sentiasa dalam keadaan yang baik, menukar part part yang rosak kerana part part ini kalau terus digunakan bakal menyebabkan kerosakan yang lebih teruk, sentiasa melakukan servis mengikut jadual dan menjmatkan kedudukan kewangan mereka sedapat mungkin.

Semuga jangkaan situasi yang lebih teruk ini tidak akan berlaku,insyaalah

Isnin, 9 November 2009

Market update: Pengecilan skop risiko insurans kereta motor

Insurans kereta motor di negara kita kini mengalami perkembangan baru seiring dengan situasi ekonomi semasa.Seperti yang pernah saya tulis di posting saya yang lalu,salah satu syarikat insurans prinsipal saya sedang mengecilkan penglibatan mereka dalam mengambil risiko kereta motor.Sebenarnya pengecilan ini bukan sahaja melibatkan syarikat prinsipal saya sahaja tetapi ianya adalah senario terkini dalam keseluruhan industri insurans kereta motor.Kurnia Insurans sebagai syarikat insurans am terbesar di negara kita sudah mengorak langkah untuk mengecilkan pengambilan risiko kereta motor dan langkah pengecilan ini turut diikuti oleh kebanyakan syarikat insurans yang lain termasuk juga syarikat syarikat yang menjalankan urusniaga takafur.Kini hanya tinggal satu atau dua syarikat yang masih liberal dalam panduan underwritting mereka tetapi dipercayai ianya adalah sementara sahaja di mana syarikat syarikat ini dijangka akan mengambil langkah pengecilan yang sama.

Situasi ini tidak bagus bagi sebahagian besar pengguna insurans di mana dipercayai majoriti pemilik kenderaan hari ini adalah terdiri daripada mereka mereka yang terjejas.Cuma pemilik kereta baru sahaja yang mungkin terselamat dari langkah pengecilan ini.

Untuk itu, sebagai panduan kepada pengguna yang terjejas, bagi pemilik kereta persendirian, anda ada dua pilihan iaitu mendapatkan insurans melalui pejabat pos atau mendapatkan perlindungan dari "HIGH RISK POOL".Inilah sahaja kaedah yang ada bilamana seluruh syarikat insurans mengetatkan polisi underwritting mereka.Sementara bagi pemilik lori permit "A" sebahagian kenderaan awam dan sebahagian pemilik lori permit "C", anda hanya ada satu cara sahaja untuk membaharui road tax lori anda ia itu melalui "HIGH RISK POOL".Untuk maklumat, kini semua syarikat insurans sudah menolak semua risiko untuk permit "A", sebahagian kenderaan awam dan lori permit "C".Begitu juga bagi pemilik kenderaan special type, pilihan yang ada semakin terhad untuk mendapat perlindungan insurans di mana kemungkinan besar mereka juga terpaksa beralih kepada "HIGH RISK POOL".

Situasi begini pernah berlaku sekitar tahun 1987 dan 1988 di mana ketika itu, keadaan juga dipengaruhi oleh polisi underwritting Kurnia Insurans.Tetapi daripada maklumat yang didapati, suasana hari ini lebih teruk daripada tahun tahun 1987-88. Untuk itu, pengguna perlu bersedia untuk berdepan dengan situasi yang lebih teruk.Kini ada ura ura untuk mewajibkan kereta lebih 15 tahun diperiksa oleh puspakom dan hampir semua syarikat insurans dan takafur sudah menolak risiko kereta yang berusia lebih 20 tahun.Pendek kata pemilik kereta lama sudah tinggal nyawa nyawa ikan lagi.

Pejabat pos merupakan satu satunya tempat untuk mendapatkan perlindungan 3rd party bagi kereta dan motor (yang berusia kurang dari 10 tahun).Ramai yang bertanya kenapa pejabat pos sahaja dibenarkan mengeluarkan perlindungan 3rd party sementara agen agen insurans sudah tidak dibenarkan.Sebenarnya, syarikat syarikat insurans sudah menolak semua bentuk perlindungan 3rd party ini, tetapi bagi polisi yang dikeluarkan di pejabat pos, ianya mendapat backup daripada kerajaan yang bermakna sebahagian besar risiko akan ditanggung oleh kerajaan.Tetapi saya juga mendapat maklumbalas dari pelanggan pelanggan saya bahawa pejabat pos juga turut mengetatkan pengeluaran polisi 3rd party ini.Ada sebahagian model(untuk motosikal) tidak diterima dan ada pula yang memberitahu pejabat pos mengenakan kouta harian ketika mengeluarkan polisi 3rd party ini di mana sesiapa yang datang ketika kouta mereka sudah habis dikeluarkan, maka pembaharuan insurans dan road tax mereka akan turut ditolak.Begitu juga di setengah tempat,pejabat pos menetapkan hari hari tertentu untuk menerima pembaharuan road tax di mana sekiranya pelanggan pergi pada hari hari lain, maka pembaharuan juga tidak akan dibuat.

Demikianlah, kesukaran kesukaran yang sedang dihadapi oleh pengguna yang turut menjejaskan agen agen insurans.Namun begitu, agen agen masih boleh memberikan perkhidmatan terutama dalam memdapatkan perlindungan daripada "HIGH RISK POOL".Umumnya, pelanggan tidak mengetahui apakah "HIGH RISK POOL" dan bagaimana untuk mendapatkannya.Di sinilah kelebihan yang ada pada agen agen insurans yang umumnya mengetahui cara cara untuk mendapatkan perlindungan daripada "HIGH RISK POOL".Untuk itu, kepada pengguna yang terjejas dengan polisi underwritting insurans semasa, carilah agen agen yang boleh membantu anda.

Jumaat, 6 November 2009

Kenapa Anda perlukan Agen insurans?

Tengah hari semalam ketika sedang minum kopi di restoran bersama pelanggan, saya menerima satu panggilan talipon dari seorang kawan yang juga salah seorang pelanggan saya meminta pertolongan kerana tayar kereta TOYOTA WISH yang dipandu oleh isterinya bocor di tengah perjalanannya di satu tempat yang sukar untuk mendapatkan pertolongan sementara isterinya tidak tahu dan tidak mampu untuk menukar tayar.Kebetulan pelanggan yang sedang minum kopi dengan saya juga pemilik kereta TOYOTA WISH yang kemudian memberitahu sedikit panduan bagaimana untuk menukar tayar kereta tersebut.

Saya kemudian ke tempat kejadian setelah menalipon adik saya untuk meminta beliau ke tempat yang sama keran saya memerlukan pertolongan untuk membantu isteri pelanggan tersebut.Tetapi alhamdullah sebaik saja saya sampai tiba tiba dua orang anak muda yang memandu kereta TOYOTA CALDINA berhenti dan menawarkan bantuan yang sungguh bermakna dan berguna kepada saya dan kepada isteri pelanggan tersebut sebelum adik saya sampai.Setelah mengalami beberapa masalah teknikal akhirnya tayar kereta tersebut berjaya ditukar.Ucapan terima kasih kepada pemuda yang baik hati itu dari saya bagi pihak pelanggan saya.

Namun apa yang saya ingin kongsikan ialah kepentingan untuk menjadi agen yang baik kepada pelanggan dan keperluan setiap pengguna untuk berurusniaga dengan agen yang baik.Moral dari kejadian ini ialah pelanggan saya yang bekerja di Kuala Lumpur pada ketika dimaklumkan oleh isterinya mengenai masalah yang dihadapinya secara spotan teringat kepada saya yang menjadi agen insuransnya lalu terus menghubungi saya untuk mendapatkan pertolongan,Ini bermakna seorang agen bukan sahaja menjual polisi kepada pelanggannya tetapi menjadi tempat rujukan utama bilamana berdepan dengan masalah berkaitan dengan kereta mereka.Ini juga bermakna seorang agen perlu bersedia untuk membantu pelanggan dalam apa jua keadaan,sekali gus ianya menjadi nilai tambah percuma kepada pelanggannya.

Nilai tambah ini mungkin tidak dapat diperolehi oleh mana mana pengguna yang mendapatkan insurans mereka dengan Bank atau pejabat pos atau MyEG atau membeli terus dari syarikat insurans tetapi boleh diperolehi daripada agen agen yang baik.Di sinilah mesej yang ingin saya sampaikan kepada semua pelanggan agar mendapatkan insurans kereta mereka dengan agen agen yang baik yang saya pasti ramai dalam pasaran sekarang ini.Begitu juga rakan rakan agen semua, bersedialah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

Itu satu daripada isu yang ingin saya ketengahkan kepada semua pembaca blog saya.Satu lagi keperluan untuk memiliki agen yang baik terserlah dalam situasi underwritting insurans semasa.Semalam juga saya berdepan dengan masalah untuk membaharui tiga polisi yang sebelum ini diambil dalam bentuk 3rd party tetapi sudah tidak diterima sekarang ini.satu daripada polisi tersebut milik adik saya yang saya panggil untuk membantu saya ketika menukar tayar TOYOTA WISH tersebut.Kalau diikut standard kebanyakan syarikat insurans hari ini,adik saya terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi untuk insurans keretanya yang sebelum ini menggunakan perlindungan 3rd party.Tetapi dengan hubungan yang baik dengan rakan rakan agen yang lain, saya berjaya mendapatkan polisi yang dikira murah dalam keadaan semasa dan menyelamatkan adik saya daripada membayar harga yang tinggi untuk insurans keretanya yang berusia lebih daripada 15 tahun.Saya juga berdepan dengan dua pembaharuan insurans lori permit C salah seorang pelanggan tetap saya.Saya berjaya mendapatkan pembaharuan yang dikira murah kepada salah sebuah lori tersebut tetapi masih gagal untuk membaharui sebuah lagi.Sehingga saya menulis ini, saya tidak pasti samada pelanggan saya sudah mendapatkan insurans dari tempat lain kerana masih tidak sempat menghubunginya tetapi dari pengalaman yang lepas saya agak beliau masih belum berjaya membaharui insurans tersebut.Inilah masalah yang sedang dihadapi oleh para agen dan semalam juga saya diberitahu oleh underwritter salah sebuah syarikat insurans prinsipal saya bahawa sekarang ini, polisi syarikat ialah untuk mengurangkan penglibatan dalam mengeluarkan polisi polisi insurans kereta motor.

Kemungkinan kepada masalah yang lebih serius sudah dibayangkan oleh underwritter tersebut di mana sebuah lagi prinsipal saya turut mengubah prosidur membatalkan cover note yang turut memberikan banyak kesulitan kepada agen agen mereka.Inilah cabaran yang mesti dihadapi oleh agen agen insurans hari ini dan kesulitan yang berterusan perlu dihadapi bersama oleh orang ramai.Tetapi apa yang ingin saya sampaikan dalam isu ini ialah kemampuan para agen menolong pelanggan mereka dalam situasi yang sukar hari ini.Contoh dari kemampuan saya mendapatkan perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan seperti kes kereta adik saya dan salah sebuah lori permit C tersebut seharusnya diambil kira oleh pengguna sekelian dalam pertimbangan untuk mendapatkan polisi mereka. Sekalipun MyEG menawarkan diskaun kepada road tax, sekalipun syarikat insurans memberi rebate kepada premium yang dibeli dikaunter mereka, tetapi tidak ada satupun mampu memberi servis seperti para agen yang pada saya merupakan personal touch yang tidak mampu disaingi oleh MyEG atau mana mana pihak sekalipun termasuk bank dan pejabat pos dalam soal pembelian polisi insurasn ini.

Isnin, 2 November 2009

MyEG, Era baru dalam penggunaan Insurans dan pembaharuan Road tax

Kini, urusan insurans kereta motor dan pembaharuan Road tax memasuki era baru bilamana urusan elektronik atau E dagang sudah mula digunakan.MyEG Service Berhad diberi hak bagi pihak kerajaan untuk urusan membaharui Road tax kereta persendirian dan lesen memandu(CDL).Road tax dan lesen memandu yang dikeluarkan oleh MyEG adalah sah seperti Road tax dan lesen yang dikeluarkan oleh JPJ.

Dengan kehadiran MyEG dalam urusan insurans dan pembaharuan Road Tax ini,maka terbuka satu lagi opsyen bagi agen agen insurans dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan mereka.Kini selain menggunakan runner, agen juga boleh memenafaatkan perkhidmatan MyEG, oleh itu bertambahlah opsyen yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.Ini bermakna, agen agen tidak terjejas dengan kehadiran MyEG malah telah menambahkan lagi kepelbagaian dalam perkhidmatan mereka.

Bagi pengguna, Kehadiran MyEG ini pula menunjukkan satu perkembangan baru menuju masadepan.Para agen sudah mula menyesuaikan diri untuk memenafaatkan urusan elektronik yang ditawarkan oleh MyEG, tetapi pengguna masih lagi kurang maklumat dan kurang minat untuk menggunakan MyEG.Untuk itu adalah diingatkan bahawa urusan elektronik yang sudah ada sekarang mungkin merupakan urusan masadepan.Mungkin sedikit masa lagi akan muncul syarikat pengendali lain untuk turut sama bersaing dalam urusan elektronik kerajaan ini dan mungkin juga satu hari nanti semua urusan berkaitan jabatan kerajaan akan dijalankan secara elektronik.

Untuk maklumat pengguna, MyEG menawarkan potongan sehingga 30% dari harga Road tax bagi sesiapa yang menggunakan perkhidmatan mereka.Begitu juga, syarikat insurans memberi rebate sebanyak 5% dari harga premium bagi sesiapa yang berurusan terus dengan mereka dan rebate ini akan dinaikkan kepada 10% pada 1 julai 2010.Ini merupakan galakan kepada penggunaan kemudahan elektronik dalam urusan pembaharuan Road tax.

Perlu diingatkan bahawa urusan elektronik MyEG bukan setakat urusan pembaharuan Road tax dan lesen memandu sahaja tetapi MyEg turut menawarkan urusan elektronik untuk urusan pembayaran saman dengan PDRM, turut memberi perkihidmatan di jabatan pendaftaran negara dan dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain.Ini bermakna urusan elektronik ini sedang dikembangkan dalam kehidupan moden hari ini dan kemungkinan ianya akan menjadi sesuatu yang mesti dihadapi di masa masa depan.

Oleh itu, adalah dicadangkan supaya pengguna dan orang ramai memberi tumpuan untuk menyediakan diri dengan perubahan yang mungkin akan berlaku ini dengan mendekatkan diri dengan teknologi ICT serta mengikuti perkembangan perkembangan baru dalam internet serta turut menyertai mana mana bidang yang ditawarkan diinternet.Sesiapa yang enggan turut serta mungkin akan mendapati diri mereka tertinggal satu masa nanti dan dalam hal ini saya suka mengucapkan syabas kepada rakan rakan agen yang sudah berjaya menyesuaikan diri dengan kehadiran MyEG dalam pasaran dan seterusnya suka mencadangkan agar rakan rakan semua turut membuka minda kepada peluang peluang yang boleh dimenafaatkan terutama peluang peluang elektronik yang ada.