Isnin, 12 April 2010

Isu kepenggunaan insurans : update

Sudah agak lama saya tidak menulis di blog ini kerana tidak ada perkara perkara baru yang ingin saya sampaikan.Insurans terutama insurans kereta motor masih terikat dengan situasi underwritting yang agak membebankan di mana terdapat setengah prinsipal yang tidak lagi menerima risiko kepada kenderaan yang pemiliknya melebih umur 60 tahun dan begitu juga bagi kenderaan persendirian yang berumur lebih 20 tahun, perlindungan semakin sukar untuk didapati.

Namun di tengah tengah kemelut underwritting yang membebankan ini, saya dapati masih ada setengah setengah golongan yang masih tidak faham atau tidak mahu faham mengenai peraturan peraturan tertentu yang mesti dipatuhi sepanjang sesuatu polisi insurans itu berjalan.Saya pernah memberitahu bahawa sesuatu polisi hanya akan laku(trigger) sekiranya berlaku kerugian akibat dari kejadian yang dijamin oleh polisi, umumnya apabila berlaku kemalangan dan kecurian dalam kes insurans komprehensif kereta motor.Tetapi sepatutnya pemegang polisi tahu dan faham bahawa mereka terikat dengan kontrak insurans dalam erti kata mereka tidak harus melanggar mana mana peruntukan kontrak bagi membolehkan mereka membuat tuntutan.Di sinilah peranan lost adjuster yang bertindak sebagai badan bebas untuk mengesahkan bahawa kesemua peruntukan kontrak insurans dipatuhi bagi membolehkan sesuatu tuntutan itu dibayar.Sebarang perlanggaran kepada peruntukan ini hanya akan menyebabkan tuntutan itu ditolak.

Di sinilah juga terletakkan keperluan bagi seseorang pemegang polisi untuk memenuhi obligasi polisi bagi memudahkan proses membuat tuntutan.Tetapi malangnya di negara kita masih terdapat individu yang mahu tunjuk pandai serta akan menyalahkan syarikat insurans tertentu apabila tuntutan mereka ditolak.Mereka sering kedengaran ke sana ke mari menjaja bahawa syarikat insurans tertentu sebagai penipu dan hanya berminat untuk mendapatkan duit mereka sahaja.Mereka lupa bahawa insurans yang mereka beli itu adalah produk yang mesti diteliti sebelum membelinya.Mereka juga lupa bahawa insurans tertakluk kepada peruntukan undang undang yang diluluskan oleh Parlimen.

Individu individu ini mungkin juga tidak tahu bahawa syarikat insurans yang diperlekehkannya itu merupakan sebuah syarikat yang teguh dan dijamin kerajaan serta mungkin tidak tahu bagaimana ada orang orang yang lebih bijak dari mereka menipu jutaan ringgit dari syarikat insurans tersebut.Tuntutan palsu kehilangan motosikal,tuntutan palsu windscreen adalah antara tuntutan palsu yang pernah direkodkan berlaku di negara kita.

Baru baru ini saya menerima panggilan talipon dari salah seorang bapa kepada anak yang kehilangan motosikal.Beliau yang bukan pelanggan saya komplain mengenai tuntutan kehilangan motosikal yang ditolak kerana anaknya tidak mempunyai lesen memandu ketika kejadian kehilangan itu.Beliaulah salah seorang yang cuba berlagak pandai dan cuba mengajar saya cara cara menjual insurans.Tetapi beliau lupa bahawa obligasi untuk mengikuti syarat syarat kontrak insurans adalah obligasinya sebagai pemegang polisi bukan obligasi saya sebagai agen untuk menerangkan satu persatu kontrak tersebut.Namun untuk syarat memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang masih sah ketika kejadian, merupakan syarat yang umum dan perlu diketahui oleh setiap pemilik kenderaan.Oleh itu, untuk memastikan syarat syarat ini dipatuti, seorang bapa tidak sepatutnya membenarkan anak mereka yang tidak mempunyai lesen memandu menunggang motosikal yang mereka beli dengan harga yang mahal dan dilindungi dengan perlindungan yang komprehensif.

Pada tahap inilah saya dapati keilmuan berkaitan insurans banyak diabaikan oleh setengah orang dan ketika berlaku kerugian akibat kemalangan dan kecurian, mereka cenderung untuk menyalahkan syarikat insurans dan agen agennya.Kesannya, ia sudah menjadi isu kepenggunaan insurans yang agak serius dan lama.Usaha untuk medidik terutama oleh agen agen macam saya nampaknya dipandang sepi oleh kebanyakan orang.Jadi walaupun isu ini sudah lama berlaku di negara kita,saya kiranya ianya perlu di updatekan kerana ianya masih berlaku setelah lebih 50 tahun kita merdeka dan sekarang ini gagasan 1Malaysia pula mengambil tempatnya tetapi kekecohan mengenai isu ini tetap berlaku.