Ahad, 16 Ogos 2009

ISU KEPENGGUNAAN INSURANS...CALLMAN BEBAS

Banyak kali saya menyentuh isu kepenggunaan insurans khususnya isu isu yang berkaitan tuntutan kemalangan yang melibatkan kepenggunaan insurans motor.Sungguhpun begitu masih terlalu banyak isu isu yang boleh dibangkitkan berdasarkan pengalaman yang ada dalam industri insurans hari ini.Ada isu isu yang telah lama terjadi dan masih terus terjadi dan ada juga isu isu baru.

Antara isu isu yang sudah lama terjadi ialah pengaruh dan penglibatan para "callman" di jalanraya.Callman ialah golongan mereka yang bekerja untuk mencari kedudukan kemalangan yang berlaku di jalanraya.Umumnya,para callman ini bekerja dengan bengkel bengkel tertentu tetapi ada juga callman yang bebas, ia itu mereka yang mencari kemalangan dan "menjual" kereta kereta yang terlibat kepada bengkel bengkel tertentu tanpa ada ikatan dengan mana mana bengkel.Dari pengalaman, para callman jenis ini sering menimbulkan masalah kepada pemilik pemilik atau pengguna insurans.Satu dari klaus yang terdapat di dalam kebanyakan polisi insurans menetapkan bahawa sebarang tuntutan kemalangan mestilah melalui bengkel "penel" dan sebarang tuntutan melalui bengkel yang bukan penel tidak akan dibayar oleh syarikat penanggung insurans tersebut.

Di sinilah sering berlaku kekeliruan dan akhirnya menimbulkan banyak masalah kepada pengguna insurans yang terlibat.Ada juga Kes di mana bengkel yang menerima kereta yang rosak akibat kemalangan membuat tuntutan "3rd party" walaupun kereta tersebut dilindungi dengan polisi komprehensif demi mengelakkan keperluan bengkel penel ini.Dalam kes sebegini,pemilik kereta tersebut sering dikelirukan sehingga menimbulkan banyak salah faham terhadap insurans yang diambil.

Tuntutan 3rd party ini sering kali pula menyebabkan kelewatan dalam proses tuntutan dan menimbulkan pula banyak masalah kepada pemilik.Bagi pemegang polisi komprehensif,hal ini cukup merugikan kerana sekiranya kereta itu dihantar kepada bengkel penel dan tuntutan komprehensif dibuat maka prosesnya lebih cepat dan selamat.Dalam hal ini, suka saya nyatakan satu perkara yang sering dijadikan alasan oleh pihak bengkel berkenaan iaitu sekiranya tuntutan komprehensif dibuat maka pemilik akan kehilangan "NCD" sedangkan sebenarnya bagi tuntutan yang melibatkan kesalahan pengguna lain, NCD pemilik tidak akan dilupuskan melalui tuntutan "OD-KFK"(onwed damage- knock for knock).Inilah satu maklumat salah yang sering dijadikan alasan oleh bengkel terbabit yang akhirnya merugikan pemilik.

Perkara ini terjadi kerana penglibatan awal callman bebas yang bijak mempengaruhi pemilik kereta terbabit yang sering pula didapati kurang pengetahuan berkaitan proses tuntutan insurans serta tidak diselenggara oleh agen agen yang baik.Sama ada ianya melibatkan agen agen yang hanya mencari komisyen jualan tanpa adanya khidmat lepas jualan atau juga mungkin kerana pemilik terbabit mengambil polisi insuransnya di bank atau pejabat pos atau secara terus dengan syarikat insurans di mana pembelian insurans tersebut seperti pembelian goreng pisang panas sahaja.