Khamis, 29 Januari 2009

ISU KEPENGGUNAAN INSURANS:INSURANS MOTOSIKAL

Kali ini saya ingin menarik perhatian semua pembaca kepada satu lagi isu kepenggunaan insurans yang juga banyak menimbulkan kekeliruan ia itu mengenai insurans bagi motosikal.Untuk makluman,insurans motosikal berbeza dari insuran kereta persendirian dari sudut tarif atau kadar premium dan kadar diskaun tanpa tuntutan(NCD atau NCB).Selain itu terdapat satu lagi peruntukan bagi insurans motosikal yang mungkin tidak begitu diambil perhatian oleh pemilik apabila membeli insurans bagi motosikal tersebut.Peruntukan ini ialah berkaitan pilihan untuk samaada memasukkan perlindungan ALL RIDER atau SINGLE RIDER.

ALL RIDER melibatkan tambahan premium sebanyak 50% dari harga premium asal(temasuk loading umur pemilik dan motosikal kalau ada) dan menjadikannya lebih mahal dari SINGLE RIDER yang mana kadar banyaran premiumnya adalah kadar asal sahaja(dan loading umur pemilik dan motosikal kalau ada).Pilihan ini mencakupi pembelian insurans pihak ketiga(Third party) atau komprehensif(juga disebut dalam bahasa perbualan harian sebagai First party).

Untuk itu setiap pemilik motosikal harus membuat pilihan setiap kali mendapatkan insurans bagi motosikal mereka.Di sinilah kekeliruan sering berlaku kerana tidak memahami maksud ALL RIDER dan SINGLE RIDER.Sebagai usaha memberi kefahaman dan untuk memudahkan pemilik motosikal memilih antara dua pilihan ini, suka saya nyatakan bahawa SINGLE RIDER ialah polisi perlindungan insuran khusus kepada pemilik berdaftar motosikal itu sahaja.Ini bermakna sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian motosikal pada ketika ianya ditunggang oleh orang selain pemiliknya, maka insuran yang diambil itu tidak akan membayar apa apa kerugian yang ditanggung oleh pemilik atau apa apa tuntutan pihak ketiga(Third party claim).

Dengan bahasa yang mudah,pengambilan polisi SINGLE RIDER juga bermaksud motosikal tersebut tidak boleh dipinjamkan kepada orang lain dan sekiranya ianya dipinjamkan juga, maka risikonya ditanggung sendiri oleh pemilik.Di sinilah selalu berlaku kekeliruan apabila berlaku sesuatu tuntutan insurans sekiranya pemilik tidak mengambil tahu semasa pembelian polisi tersebut.

Polisi ALL RIDER pula merupakan polisi yang menanggung semua risiko tanpa mengira siapa menunggang motosikal tersebut.Umumnya,dalam kebiasaan kehidupan hari ini di mana motosikal boleh dipinjamkan kepada sesiapapun, polisi ALL RIDER adalah dicadangkan kepada kesemua pemilik motosikal.

Akan tetapi satu perkara yang perlu diambil berat ialah ketika hendak membeli motosikal dari kedai yang menjual motosikal.Ini adalah kerana berdasarkan pengalaman,harga motosikal yang ditawarkan oleh kedai telah termasuk harga premium insuran.Di sinilah perlunya diberi perhatian ketika hendak membeli motosikal kerana saya banyak kali terjumpa kes di mana polisi insuran bagi motosikal yang baru dibeli ialah polisi SINGLE RIDER.Bermakna motosikal tersebut tidak ditanggung risikonya apabila ditunggang oleh orang lain.Saya banyak kali terjumpa kes di mana motosikal itu dibeli untuk anak anak yang masih belajar tetapi pembelian motosikal tersebut dibuat atas nama bapanya dan dilindungi oleh polisi SINGLE RIDER.

Walaupun setakat ini saya masih belum terjumpa kes tuntutan kemalangan atau kecurian yang ditolak syarikat insuran kerana polisi SINGLE RIDER ini tetapi risikonya tetap ada.Untuk itu dinasihatkan agar pemilik motosikal serta mereka yang bercadang membeli motosikal baru supaya memberi perhatian kepada polisi insuran yang diambil.

1 ulasan:

Shukri berkata...

terima kasih kerana berkongsi :)