Saya terlupa sebelum ini untuk membangkitkan satu lagi isu yang sering dihadapi oleh pengguna insurans yang seringkali pula melibatkan kesukaran turut dikongsi oleh agen agen yang mengeluarkan polisi insurans berkaitan.Kes yang sering kali berlaku ini ialah pengambilan jumlah perlindungan yang tidak mencukupi yakni jumlah perlindungan insurans yang diambil rendah dari nilai pasaran kereta atau kenderaan yang diinsuranskan.
Prinsip asas yang digunakan untuk mengukur kadar risiko yang ditanggung oleh sesuatu polisi ialah HARGA PASARAN SEMASA.Saya sudah menjelaskan mengenai perkara ini dalam posting posting yang lepas.Saya juga menyebut tentang satu klaus dalam kontrak insurans yakni average claus yang dengan jelas menyebut bahawa sekiranya jumlah perlindungan yang rendah diambil untuk melindungi kereta kereta yang terlibat dengan tuntutan, maka kadar yang kurang itu mesti ditanggung oleh pemilik.Saya juga pernah menyatakan bahawa sesuatu polisi hanya akan laku seandainya kereta atau harta yang dilindungi itu terlibat dengan tuntutan, seandainya tiada tuntutan dalam tempoh yang dinyatakan dalam polisi maka tiada apa apa yang akan berlaku.
Perkara ini seharusnya disedari dan difahami oleh setiap pemilik kenderaan ketika membeli sesuatu polisi.Tetapi banyak kes yang terjadi di mana ketika membeli, pemilik yang juga pengguna insurans menekankan untuk mendapatkan perlindungan yang murah, walaupun perlindungan itu tidak mencukupi nilai semasa pasaran kereta mereka.Dalam banyak kes, kebiasaannya para agen akan memberitahu pemilik tersebut akan risiko yang diambilnya dan banyak kali juga pemilik menyatakan mereka faham mengenainya.Tetapi banyak kali juga terjadi di mana ketika terlibat dengan kemalangan dan tuntutan, pemilik terbabit kembali kepada agen dengan dakwaan bahawa mereka tidak diberitahu akan kemungkinan tanggungan yang terpaksa dihadapinya.Di sinilah seringnya terjadi bertenglingkahan yang tidak menguntungkan para agen kerana nama mereka disebarkan sebagai seorang agen yang tidak bertanggungjawab.Pun begitu di peringkat yang paling akhir, pemilik terbabit juga yang rugi kerana terpaksa menanggung kurangan nilai insuransnya.
Pada saya, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.Pemilik yang memiliki kereta harus sedar bahawa kos insurans adalah sebahagian kos menyelenggara kereta mereka dan tidak ada sebab kenapa mereka perlu mencari perlindungan yang kurang semata mata untuk menjimatkan wang mereka.Dan seandainya mereka berbuat demikian, mereka seharusnya sedar juga bahawa yang mengambil risiko itu adalah diri mereka sendiri, bukannya agen atau syarikat insurans.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan