Maklumat terbaru seperti posting saya yang baru lalu, menunjukkan satu kemungkinan yang lebih menyusahkan para pemilik kenderaan terutama pemilik kereta lama( usia melebihi 20 tahun),kenderaan perdagangan dan motosikal.Hal ini boleh membawa padah kepada semua pemilik kenderaan sekiranya tiada langkah pembetulan yang mampu membawa jalan keluar kepada permasalahan yang sedang melanda industri insurans kereta motor di negara kita.
Walaupun semua insurans dijamin oleh kerajaan dan kerajaan turut campur tangan dengan menyediakan back up untuk polisi yang dibeli daripada pejabat pos, namun situasi yang berlaku menunjukkan ianya bukanlah jalan penyelesaian yang mampu membetulkan keadaan.Lebih lebih lagi penerimaan "HIGH RISK POOL" yang merumitkan dengan syarat syarat yang begitu sukar, bakal menyebabkan pemilik kenderaan berkaitan berada dalam situasi yang menyulitkan.Untuk maklumat, "HIGH RISK POOL" bagi kenderaan persendirian mensyaratkan kenderaan berkenaan membuat pemeriksaan di PUSPAKOM sebelum polisi dikeluarkan.Ini bermakna dalam masa ramai yang sudah panik dengan usul untuk mewajibkan kereta yang berusia melebihi 15 tahun diperiksa di PUSPAKOM, nampaknya tanpa disedari kereta lama yang berusia melebihi 20 tahun sudahpun disyaratkan untuk diperiksa di PUSPAKOM untuk membolehkan polis dikeluarkan dan road tax disambung.
Oleh itu, situasi yang berlaku hari ini harus diambil sebagai langkah berjaga jaga oleh semua pemilik kenderaan tanpa mengira lama atau baru.langkah berjaga jaga tersebut turut melibatkan komitmen semua pemilik untuk menyumbang kepada usaha mengelakkan kemalangan di jalanraya kerana antara sebab utama kemelut yang melanda industri insurans negara ialah kadar kemalangan yang tinggi yang mana menyebabkan tuntutan insurans juga tinggi sehingga ke peringkat menjejaskan kecairan kebanyakan syarikat insurans.Selain daripada itu,pemilik juga boleh menyumbang dengan memastikan keselamatan kenderaan mereka terutama kenderaan baru dan tersenarai sebagai kenderaan popular daripada pencuri pencuri kenderaan yang masih bermaharaja lela di negara kita.Kehilangan kenderaan juga menjadi sebab utama kenapa tuntutan insurans menjadi terlalu tinggi.
Sebagai langkah peringatan, suka saya nyatakan bahawa rekod kehilangan kereta yang yang membuat tuntutan insurans menunjukkan model model TOYOTA, MITSHUBISI dan HONDA mendahului senarai kereta kereta yang dicuri.Model TOYOTA PRADO,HILUX, WISH, AVANZA MITSHUBISI STORM,beberapa model HONDA ACCORD,CRV Dan CIVIC adalah antara model model popular dan diminati oleh pencuri kereta.Selain itu, hasil penyiasatan menunjukkan sebahagian daripada kereta yang hilang ini ditemui di beberapa negara AFRIKA.Maknanya, hampir keseluruhan kereta yang hilang tidak dapat ditemui semula.Inilah risiko yang merisaukan banyak syarikat insurans sehingga ada antaranya sudah menolak risiko daripada model model berkenaan.
Untuk itu, pemilik kereta adalah dinasihati agar meningkatkan ciri ciri keselamatan kereta mereka sebagai usaha membasmi aktiviti mencuri kereta yang berleluasa sekarang ini.Ingatlah hari ini kesukaran sedang dihadapi oleh pemilik kereta berusia lebih 20 tahun, tetapi siapa tahu nanti pemilik kereta baru juga akan berdepan dengan kesukaran yang sama.
Inilah antara usaha yang boleh dicadangkan dan dimaklumkan kepada semua pemilik kereta.Selain itu, pemilik juga dinasihati agar mengurangkan perjalanan kereta mereka, memastikan kereta mereka sentiasa dalam keadaan yang baik, menukar part part yang rosak kerana part part ini kalau terus digunakan bakal menyebabkan kerosakan yang lebih teruk, sentiasa melakukan servis mengikut jadual dan menjmatkan kedudukan kewangan mereka sedapat mungkin.
Semuga jangkaan situasi yang lebih teruk ini tidak akan berlaku,insyaalah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan