Sabtu, 16 Ogos 2008

Isu yang berkaitan dengan kepenggunaan insurans:

Saya ingin berkongsi pengalaman berkaitan isu isu utama dan penting difahami oleh pengguna insurans berdasarkan kejadian benar sepanjang penglibatan saya sebagai agen insurans.
Kes yang saya cuba kupas ini berlaku kepada pelanggan saya bilamana lori yang dimilikinya terlibat dengan kemalangan kecil dengan sebuah motosikal.Oleh kerana kecederaan dan kerosakan motosikal tersebut agak kecil,pemilik lori tersebut bersetuju untuk membiayai kos perubatan dan kos pembaikian motosikal dan pemilik motosikal setuju secara lisannya.Saya kemudian dimaklumkan oleh pemilik lori tersebut bahawa kes kemalangannya diselesai di luar atas dasar persetujuan bersama.

Tetapi beberapa bulan kemudian pemilik lori tersebut menerima notis saman berkaitan kemalangan tersebut dari pemilik motosikal.Ini amat memeranjatkannya dan kemudian menghubungi saya bertanya macam mana pemilik motosikal tersebut boleh menyamannya padahal ianya telah diselesaikan dan lapuran polis tidak dibuat.Sayapun turut terkejut kerana tidak menjangka perkara tersebut terjadi.

Isu pertamanya di sini ialah saman itu tidak akan ditanggung oleh syarikat Insurans kerana peraturan menetapkan bahawa setiap kemalangan yang melibatkan kenderaan yang diinsuranskan mesti dilapur kepada syarikat insurans berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kemalangan tersebut.Oleh kerana saman itu disampaikan selepas tamat tempoh yang diberi maka saman tersebut tidak akan dibayar oleh syarikat insurans.Bermakna pemilik bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan saman tersebut.

Isu kedua ialah kemalangan yang melibatkan kenderaan kecil dengan kenderaan lebih besar tidak tertakluk kepada undang undang jalanraya dalam kes yang melibatkan tuntutan liabiliti.Isu kepenggunaan insurans yang melibatkan kenderaan kecil dan kenderaan besar memihak kepada kenderaan kecil dibawah tuntutan liabiliti(liability insurance).Oleh itu sekiranya motosikal berbabit dengan kemalangan dengan kereta,lori atau bas ,pemilik motosikal itu berhak membuat tuntutan di bawah liabiliti insurans yang dilindungi oleh polisi insurans kereta/lori/bas tersebut tanpa mengira keputusan dari undang undang jalanraya.Dengan kata lain peraturan kepenggunaan insurans memberi kelebihan kepada kenderaan kecil dan ini perlu difahami oleh semua pengguna insurans.

Oleh sebab itu,dalam kes yang saya beri diatas pemilik motosikal boleh mengeluarkan saman tuntutan gantirugi sekalipun tidak lapuran polis dibuat dibawah undang undang jalanraya.Satu lagi isu di sini ialah persetujuan yang dicapai untuk menyelesaikan masalah telah dimungkiri oleh pihak pemilik motosikal.Untuk itu dinasihatkan kepada para pengguna yang mungkin terlibat dalam situasi sebegini agar mendapatkan bukti dari persetujuan yang dicapai.Mungkin surat akuan sumpah boleh dicadangkan.Ini bagi mengelakkan pihak yang bersetuju memungkiri janji bagi tujuan mendapat/membuat tuntutan dan sekiranya tuntutan dibuat, bukti tersebut boleh digunakan di mahkamah.

Isu seterusnya ialah kemungkinan pihak yang menuntut berbuat demikian dengan kefahaman bahawa yang membayar tuntutan ialah pihak insurans tetapi sebagaimana saya nyatakan di atas untuk membolehkan syarikat insurans mengambil tanggungjawab maka kemalangan yang berlaku mesti dilapurkan dalam masa 14 hari.Umumnya dalam kes kes sebegini pemilik dinasihatkan tidak melapurkan kepada syarikat kerana lapuran tersebut akan mengakibatkan NCD/NCB kenderaan tersebut akan digantung sehingga tuntutan dibuat dan diselsaikan.Sekiranya tiada tuntutan ,tempoh maksima penggantungan NCD/NCB ialah 7 tahun, ia itu tempoh sesuatu tuntutan boleh dibuat berkaitan kemalangan yang melibatkan tuntutan liabilitiJadi pemilik kenderaan akan berada di situasi yang sukar.Untuk mengelakkan kesulitan sebegini akibat dari kemalangan kecil dengan kenderaan yang lebih kecil,pemilik dinasihatkan agar memahami peraturan kepenggunaan insurans dan tidak mengambil mudah kepada kemungkinan yang akan berlaku.Di sini perlunya peranan agen yang mahir dan terlatih untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul.

Demikianlah serba sedikit isu isu kepenggunaan insurans yang terbabit dalam kes kemalangan yang melibatkan kenderaan kecil dan besar.Dalam isu isu ini juga perlu ditegaskan bahawa penjalan kaki atau penunggang basikal juga termasuk dalam katogeri kenderaan kecil bagi maksud tuntutan liabiliti.
Sebelum lupa,dalam kes yang melibatkan pelanggan saya ini,saya telah nasihati beliau untuk berjumpa semula pemilik motosikal tersebut dan menegaskan persetujuan mereka.Akhirnya kes dapat diselesaikan apabila pemilik mengakui persetujuan tersebut dan mengakui terdapat salah faham di pihaknya kerana maklumat yang diberi kepadanya ialah tuntutan tersebut akan dibayar oleh insurans.Oleh itu sekali lagi pengguna insurans dinasihatkan mendapatkan nasihat dari agen mereka.

Tiada ulasan: